Mohd Jamaluddin menyerlah di Cabaran Pancing


Oleh Imelda Farrah Zohre HA


BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Mohd Jamaluddin Abdullah membawa pulang trofi serta hadiah bernilai $385 termasuk wang tunai setelah beliau berjaya menangkap ikan Kerapu seberat 0.97 kilogram kira-kira 35 minit setelah Cabaran Pancing dimulakan, dalam kategori menangkap ikan terpantas.

Beliau juga mendapat tempat pertama bagi Kategori Perseorangan dengan membawa balik hadiah bernilai $1,050 berserta Trofi manakala Pengiran Mohd Rizal Pengiran Osman dan Md Shamjul Nijam masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga dengan memenangi hadiah bernilai $572 dan $405 termasuk wang tunai dan Trofi.

Sementara dalam kategori berkumpulan pula Kumpulan Sambaran yang menangkap ikan seberat 2.5 kilogram berjaya mendapat tempat pertama, dengan membawa pulang hadiah bernilai $855 termasuk wang tunai serta trofi diikuti Kumpulan Rimba Villa I di tempat kedua dan Kumpulan Rimba Villa II di tempat ketiga yang masing-masing membawa pulang hadiah bernilai $514 dan $343 termasuk wang tunai berserta Trofi.Bagaimanapun bagi kategori melempar pancing dengan tepat tidak dimenangi mana-mana kumpulan yang bertanding.

Jabatan Perikanan bersama Syarikat Capt Fred Fishing dan Marine Supply selaku syarikat yang membekalkan alat menangkap ikan menganjurkan Cabaran Pancing 2009 yang berlangsung di Pantai Tungku, Gadong, di sini, hari ini.Perlawanan yang bermula pukul 8 pagi dan berakhir pukul 2.30 petang itu bertujuan mempromosikan dan menggalakkan aktiviti riadah sukan. Selain itu cabaran pancing itu juga berpotensi untuk memajukan ekopelancongan perikanan yang boleh menyumbang kepada ekonomi negara dan sekali gus mengeratkan hubungan antara peserta dan peminat pancing di negara ini.

Cabaran Pancing tahun ini diadakan sebagai susulan kepada kejayaan pertandingan sukan memancing yang pernah diadakan oleh Jabatan Perikanan di keempat-empat daerah sejak 2001 iaitu bersempena Tahun Melawat Brunei 2001. Kira-kira 240 penyertaan daripada pelbagai pihak turut serta dalam cabaran pancing kali ke lapan tahun ini dan kali ketiga dianjurkan bersama Capt Fred Fishing dan Marine Supply. Acara hari ini dirasmikan oleh Pengarah Perikanan, Dayang Hajah Hasnah binti Ibrahim.

Sebanyak empat kategori dibukakan dalam Cabaran Pancing 2009 itu iaitu Kategori Berkumpulan, Kategori memancing bagi masa yang terpantas, Kategori Perseorangan dan Kategori melempar pancing dengan tepat.

Majlis penutup yang disempurnakan oleh Menteri Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Pehin Dato Seri Setia Haji Yahya Haji Bakar yang juga menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Di samping cabaran memancing beberapa aktiviti seperti jualan produk perikanan dan acara sampingan untuk disertai oleh orang ramai dalam semua peringkat umur juga disediakan bagi memeriahkan lagi Cabaran Pancing pada tahun ini. Antara aktiviti yang menarik perhatian ialah 'Parasailing', 'Banana boat ride' dan 'Flying fish' manakala acara sampingan seperti merambat bagi peserta wanita dan beberapa permainan meneka bermacam barangan seperti meneka banyak gula-gula dan berat ikan.

Turut memeriahkan lagi Cabaran Pancing tahun ini, perlawanan tarik kalat juga diadakan di antara pasukan Jabatan Perikanan dan juga pasukan Capt Fred Fishing and Marine Supply. Pasukan Jabatan Perikanan yang memenangi perlawanan tarik kalat bagi Cabaran Pancing 2009 menerima hadiah daripada tetamu kehormat di majlis penutupnya.